Bertunang


Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, selalunya majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan bergantung atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran juga agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik.

Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

GUBAHAN HANTARAN





About