Berinai


Majlis berinai biasanya diadakan sehari sebelum majlis langsung. Adat ini selalunya terdapat di negeri Johor Darul Takzim. Walaupun begitu, majlis ini ada juga yang dibuat secara berperingkat-peringkat seperti berikut :-

Berinai curi diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja.

Berinai kecil diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Berinai besar diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan. Sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggah, iaitu rumah yang disediakan oleh pihak pengantin perempuan. Selalunya ia terletak berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.



~AKAD NIKAH~ << ~MENU UTAMA~ >> ~MAJLIS RESEPSI~



About